Sesi persekolahan dibuka mengikut takwim termasuk di kawasan PKPB – Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan mereka akan dibuka di seluruh negara mengikut takwim 2021, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Pendidkan, Dr Radzi Jidin berkata, pengoperasian kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu.Selain itu, pengoperasian turut melibatkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu, tambahnya.

“KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari ini, mengikut takwim yang telah diumumkan oleh KPM pada 8 November 2020.Kata Perdana Menteri, bagi institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM bagi sesi 2021 adalah tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN.Sementara yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021.

Sehubungan itu, Radzi berkata maklumat takwim boleh dirujuk di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my/takwim.Takwim bagi IPS pula, jelas beliau adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

Sumber:-

Hasimi MuhamadJanuari 2, 2021 19:16 MYT
https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/kkm-galakkan-pelajar-bergejala-pakai-pelitup-muka-246887