Operasi kantin sekolah berjalan seperti biasa pada Ramadan – Fadhlina

KUALA LANGAT: Pengurusan sekolah akan tetap meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa pada bulan Ramadan.


Selain itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, murid-murid khususnya yang bukan beragama Islam akan turut diterapkan dengan nilai-nilai kesedaran supaya lebih faham tentang ibadah puasa bagi orang Islam.


“Saya sudah ulangi bahawa, pertama, kantin mesti dibuka.


“Dan kedua, mesti ada dari segi pendidikan yang berkaitan dengan kesedaran dan hormat, khususnya di sekolah-sekolah yang mempunyai murid-murid bukan Islam.


“Jadi, proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain itu sangat penting,” katanya.


Fadhina berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan hari pertama persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, di sini, hari ini.


Tambahnya, beliau turut yakin bahawa guru-guru juga mempunyai pengalaman untuk menguruskan perkara ini.


Sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/operasi-kantin-sekolah-berjalan-seperti-biasa-pada-ramadan-fadhlina-461792

Pia Ernadya Mac 11, 2024 11:15 MYT