Kawasan PKPB, PKPP: Sesi persekolahan dibuka mengikut takwim – KPM

KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori Institusi Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa akan beroperasi mengikut takwin institusi masing-masing di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).


Menterinya, Dr Radzi Jidin berkata KPM menyarankan agar semua ketetapan tersebut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.


“KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam norma baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam norma baharu.


“Selain itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.


Jelas Radzi, pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan. Mengikut takwin, pembukaan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara ditetapkan pada 20 Januari.


Petikan dari: Hasimi Muhamad

Januari 11, 2021 22:52 MYT


sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kawasan-pkpb-pkpp-sesi-persekolahan-dibuka-mengikut-takwim-kpm-277223