Sekolah dibuka semula untuk kelas peperiksaan awam 24 Jun ini

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara pada 24 Jun nanti.


Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia melibatkan seramai 500,444 pelajar dan 2,444 sekolah menengah kebangsaan serta beberapa ratus sekolah antarabangsa di seluruh negara.


Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sejak April lalu.


“Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta, institusi yang berdaftar dengan KPM dan sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disaran menggunakan garis panduan tersebut.


“Kebolehlaksanaan garis panduan pembukaan semula sekolah telah dicuba di 12 buah sekolah di bawah KPM dan lapan buah institusi pendidikan swasta (IPS) pada awal Mei lalu,” katanya pada Sidang Akhbar Khas KPM di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Mohd Radzi berkata, pembukaan semula sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan, ia hanya melibatkan murid kelas-kelas peperiksaan awam SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara.


Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah dibuka semula nanti kerana pelajar dan guru perlu mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh KKM bagi memastikan pelajar mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat.


“Sekiranya ibu bapa atau penjaga mendapati anak-anak tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah sebaliknya bawa mereka untuk pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya.


”Guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk sekolah dan pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah,” katanya.


Dalam pada itu, Dr Mohd Radzi berkata, mereka yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.


Katanya, setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing.


“Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap termasuklah ketika tiba di sekolah, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.


“Meja-meja pelajar disusun pada jarak satu satu meter dengan kapasiti maksimum untuk sebuah kelas tidak melebihi 20 murid berdasarkan penjarakkan sosial namun untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti akan lebih tinggi,” katanya.


Dr Mohd Radzi turut memaklumkan bahawa KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan sesi persekolahan dari masa ke masa dan pembelajaran di rumah akan diteruskan.


sumber :- https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/87110