Penutupan sekolah: Sewa kantin dikecualikan hingga hujung tahun – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan mulai Julai hingga akhir tahun ini akibat penutupan sekolah.


Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, KPM turut memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis di sekolah secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.


“KPM juga memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha kantin serta penyewa premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobi/vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah bawah KPM,” katanya dalam satu kenyataan yang dipaparkan di akaun Facebooknya, pada Ahad.


Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM memahami kesukaran dihadapi penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi bawah KPM akibat PKP.


“Justeru itu, kontraktor perkhidmatan KBK akan dibayar sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak dan tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.


“Bagi perkhidmatan BMB pula, KPM akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.


“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” ujarnya.


Sumber:- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penutupan-sekolah-sewa-kantin-dikecualikan-hingga-hujung-tahun-kpm-306573

Afiezy Azaman Julai 4, 2021 10:24 MYT