Pengoperasian sekolah: Beban guru kemungkinan bertambah – Dr Anuar

KUALA LUMPUR: Pendekatan memecahkan kelas kepada dua kumpulan murid menjelang pembukaan sekolah mengikut fasa pada Oktober depan dilihat berkemungkinan akan menambah beban tugas pengajaran guru.


Bagi Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad, ia pastinya akan menimbulkan kekangan kepada para guru untuk merancang pembelajaran dan memastikan silibus mata pelajaran dapat diselesaikan.


“Pendekatan ini sebenarnya mungkin akan menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan guru kerana mereka terpaksa lakukan dua beban tugas yang sama berat, iaitu mengajar sewaktu minggu pertama untuk Kumpulan A, dan minggu kedua untuk Kumpulan B.


“Selain itu, mereka harus lakukan juga PdPR pada waktu yang sama yang bermaksud beban tugas mereka dalam satu minggu itu selain daripada mengajar pelajar-pelajar Kumpulan A, mereka juga harus menyelia pelajar Kumpulan B melakukan self-learning di rumah masing-masing.


“Dan sudah tentu saja mereka (Kumpulan B) akan terus berhubung dengan guru apabila mereka mempunyai masalah pembelajaran.


“Jadi, sudah pasti perkara pertama yang akan menjadi topik di kalangan guru adalah beban tugas mereka akan bertambah berlipat kali ganda di dalam tempoh penggiliran ini,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.


Untuk itu jelasnya, kaedah penggiliran yang lebih sesuai ialah dengan membenarkan murid-murid datang ke sekolah mengikut tahun atau tingkatan.


“Misalnya hanya murid Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima sahaja hadir pada minggu pertama manakala pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga dibenarkan hadir pada minggu yang kedua.


“Penyusunan semula fizikal kelas boleh dilakukan untuk memastikan penjarakan fizikal dan SOP dapat dipatuhi.


“Jadi di situ kita dapat lihat, kita masih boleh mencapai 50 peratus kehadiran ke sekolah tetapi hanya kelompok yang berasaskan tingkatan sahaja.


“Jadi kalau kita dapat lakukan itu, kita tahu guru masih mendapat beban tugas yang sama seperti sebelum ini iaitu mereka perlu mengajar pelajar satu kelas sama sekali jalan, dan mereka tidak perlu lakukannya berulang kali dalam minggu yang sama,” tambah Dr Anuar.


Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menjelaskan, pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan .


Jelasnya, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.


Langkah itu juga bagi pengawalan murid dan guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan.


Sumber :- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengoperasian-sekolah-beban-guru-kemungkinan-bertambah-dr-anuar-319362

Faris Danial Razi – September 12, 2021 19:12 MYT