PdPR: Majoriti pelajar Asia Pasifik cenderung pembelajaran bersemuka

KUALA LUMPUR: Lebih separuh atau 55 peratus pelajar di Asia Pasifik (APAC) yang beralih kepada pembelajaran dalam talian (PdPR) disebabkan pandemik COVID-19 lebih cenderung memilih pembelajaran secara bersemuka.


Walaupun peratusan ia tinggi dengan satu daripada dua kanak-kanak di Asia memilih pembelajaran bersemuka di kelas berbanding sesi dalam talian, namun ia masih rendah berbanding rantau lain.


Menerusi tinjauan pendapat oleh syarikat keselamatan siber, Kaspersky, kanak-kanak di Amerika Latin lebih cenderung memilih pembelajaran bersemuka iaitu 75 peratus, diikuti Afrika (73 peratus) dan Timur Tengah (58 peratus).


Majoriti kanak-kanak di APAC tidak menggemari pembelajaran dalam talian disebabkan terpaksa meluangkan banyak masa di hadapan skrin (74 peratus) dan diikuti masalah teknikal (60 peratus).


Sementara itu, 57 peratus pelajar akui sukar memahami kandungan pembelajaran ketika sesi dalam talian berbanding secara bersemuka.


Namun, 45 peratus para pelajar masih berminat untuk belajar secara dalam talian.


Antara subjek yang diakui sukar untuk belajar secara maya oleh pelajar APAC adalah matematik (48 peratus), kimia (28 peratus), fizik (25 peratus) dan biologi (25 peratus).


Trend ini adalah hampir sama dengan rantau lain di peringkat global.


Malah, ibu bapa di rantau ini secara majoriti iaitu 68 peratus tidak mahu meneruskan pembelajaran secara maya selepas pandemik ini berakhir.


Antara kebimbangan ibu bapa adalah masa yang diluangkan pelajar di hadapan skrin adalah terlalu lama (68 peratus) dan penurunan kualiti pendidikan secara umum (48 peratus).


Sumber:- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pdpr-majoriti-pelajar-asia-pasifik-cenderung-pembelajaran-bersemuka-313127

Harits Asyraf Hasnan Ogos 9, 2021 14:43 MYT