PdP bersemuka bermula Mac, April ini

KUALA LUMPUR: Murid sekolah rendah bagi darjah satu dan dua serta pra sekolah bakal memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bermula 1 Mac ini.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memaklumkan, sesi persekolahan bagi murid darjah tiga, empat, lima dan enam pula akan bermula pada 8 Mac.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ia bagi membolehkan murid-murid pra sekolah, darjah satu dan dua dapat membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.


“Ini akan memberi ruang kepada guru-guru untuk membiasakan SOP baharu di sekolah.


“Guru-guru bersama ibu bapa juga boleh berbincang terutama melibatkan penyuraian anak-anak pada akhir sesi persekolahan,” katanya pada sidang media pada Jumaat.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan sesi pembelajaran bagi pelajar sekolah menengah akan bermula pada 4 April melibatkan negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah sementara pelajar negeri lain akan bermula pada 5 April.


Ujarnya, PdP bersemuka bagi sekolah menengah dilewatkan bagi memberi laluan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berakhir pada penghujung Mac ini.


“Memandangkan keperluan logistik di sekolah cukup banyak digunakan sewaktu SPM, sekiranya kita bawa balik mana-mana tingkatan di sekolah, ia akan memberi kesan kepada ruang-ruang yang perlu kita sediakan bagi tujuan peperiksaan.


“Oleh yang demikian, KPM ambil keputusan supaya semua pelajar sekolah menengah kembali ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan yang bermula 27 Mac hingga 4 April,” katanya.


Tambah beliau lagi, tarikh pembukaan sekolah itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.


Sumber :- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pdp-bersemuka-bermula-mac-april-ini-283721

Harits Asyraf Hasnan Februari 19, 2021 17:22 MYT