Negara bakal beralih fasa pendidikan digital menjelang 2025

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara akan berhadapan dengan fasa sistem keempat menjelang 2025 iaitu pendigital pendidikan.


Menjelaskan perkara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, terdapat beberapa cabaran yang akan dihadapi dalam memasuki fasa ini, dan jika sistem pentaksiran pendidikan yang lama masih menjadi amalan biasa, ia akan menimbulkan beberapa masalah.


“Selepas 2025, kita akan melihat fenomena baru iaitu pendigital pendidikan. Istilah ini sudah lama dan kita akan lihat menjelang 2025 nanti, amalan pendigitalan nanti akan mempengaruhi sistem pendidikan negara.


“Para pelajar boleh melihat apa sahaja ada di dalam google, ini mungkin akan menjadi cabaran baru buat kita tetapi apabila masuk fasa keempat ini, pembinaan pendigitalan pendidikan akan menggabungkan ke semua elemen sebelum ini di mana mungkin di sekolah ada sebahagiannya tidak relevan lagi,” katanya dalam wacana ilmu Minda Profesor Sistem Pendidikan di Malaysia: Mitos dan Realiti menerusi laman sosial Facebook, hari ini.


Mengukuhkan perkara itu, Anuar turut berkata, permohonan pelajar universiti untuk belajar atas talian antara contoh yang boleh dilihat kerana lebih fleksibel dan menjimatkan masa antara pelajar dan juga tenaga pengajar.


Beliau dalam masa yang sama turut mengulas sebab mengapa pelajar kini kurang minat belajar, antaranya disebabkan kurang kemahiran asas.


“Apabila tiada kemahiran asas, kalau tiada kemahiran membaca, menulis dan mengira, bila naik ke tingkatan satu ramai tidak boleh membaca dengan baik. Mereka menerima murid dalam keadaan yang tiada kemahiran asas, bagi buku Sejarah yang penuh dengan teks, kalau tidak boleh baca macam mana nak baca dengan baik?


“Mereka tiada kemahiran yang baik selepas pandemik, tingkatan satu sekarang ibaratnya pemikiran dia tolak dua tahun iaitu pada umur darjah lima,” ujarnya lagi.


Malah katanya lagi, kaedah pembelajaran guru juga dilihat antara faktor pelajar kurang minat dengan pendidikan.


“Tetapi kita tidak boleh salahkan guru, sebab guru perlu habiskan silibus, dia kena pastikan 45 orang di dalam kelas memahami apa yang diajar. Apa yang disebut Menteri Pendidikan,  Fadhlina Sidek itu betul, tinggalkan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan kesan kepada pelajar.


“Barulah guru boleh fokus pada pendidikan para pelajar,” ujarnya lagi. 


sumber:- UTUSAN – https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/negara-bakal-beralih-fasa-pendidikan-digital-menjelang-2025/


Oleh ASLINDA NASIR 25 Mei 2023, 2:32 pm